fbpx

“Tiada Sumpah Cuma Respon, Mungkin Doktor Tak Berapa Jelas”

Semalam kecoh di media sosial apabila bekas anggota kumpulan nasyid In Team, Suhaimi Saad apabila mencabar angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor untuk bersumpah dengan nama Allah bahawa bumi itu bulat sfera.

Susulan itu, Dr Sheikh tampil memberi penjelasan mengenai bentuk sebenar bumi yang menjadi keraguan segelintir pihak yang mendakwa bumi itu berbentuk mendatar.

BACA: Suhaimi Saad Cabar Angkasawan Negara Bersumpah Bumi Bulat Sfera

Menurutnya, sebagai angkasawan Islam kesembilan yang menerokai angkasa lepas, hatinya terdetik untuk menjawab mengenai persoalan tersebut dan menceritakan fakta sebenar.

“Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.

“Setiap manusia perlu ke angkasa lepas sekiranya mempunyai peluang. Pastinya kunjungan anda ke angkasa lepas akan mengubah perspektif anda tehadap kehidupan secara keseluruhannya. Anda pastinya akan percaya dengan ciptaan-Nya. Pengalaman tersebut sangatlah memukau dan menakjubkan.

“Sukar untuk mengubah persepsi mereka golongan ‘flat earth’. Tetapi apa yang saya kongsikan adalah pengalaman saya dan apa yang saya lihat. Dengan nama Allah semua ini datang dari hati saya,” tulisnya.

Bagaimanapun, Suhaimi Saad mendakwa angkasawan negara itu tidak menyahut cabarannya untuk bersumpah mengatakan bumi ini berbentuk sfera. Ujarnya lagi, Dr Sheikh hanya menyebut lafaz zikir apabila menegaskan bahawa bumi ini memang berbentuk sfera.

“Mungkin doktor tak berapa jelas apa yang ss maksudkan dengan sumpah. Walaupun sebenarnya saya dah tulis dengan jelas. Masya Allah..SubhanAllah dan In the name of Allah bukanlah lafaz sumpah itu zikir biasa.

“Takpalah. SS cuma cabar sahaja. SS tak paksa pun Dr sumpah. Mungkin Dr tak suka bersumpah. #husnuzon,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi memberitahu  dia tidak akan menghentikan kajiannya dan akan terus berpegang pada fahamannya itu. Ujarnya lagi, dia juga tidak dapat menyampaikan dakwah kepada golongan ‘Flat Earth’ yang mempercayai bumi ini sebenarnya rata.