fbpx

Tiada Permohonan Maaf Diterima, Siti Nordiana Tetap Teruskan Saman

Selepas memberi tempoh 48 jam dan tiada sebarang permohonan maaf diterima, pelakon dan penyanyi Siti Nordiana nekad meneruskan saman terhadap lima individu iaitu Lan Solo, Syura, Sam Samin, Sheila Razlan dan Aida G.

Nana berkata dia telah mengarahkan peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin untuk meneruskan tindakan saman dan keputusan tersebut diambil bagi membersihkan namanya.

BACA: “48 Jam Untuk Permohonan Maaf Atau Saya Saman” – Siti Nordiana

“Nana telah mengarahkan pihak peguam untuk meneruskan dengan tindakan saman terhadap kelima-lima individu tersebut yang akan difailkan selewat-lewatnya pada Isnin depan iaitu 2 Ogos.

“Nana telah melantik firma guaman bagi tindakan undang-undang dan keputusan tersebut diambil bagi membersihkan nama dan imej yang telah dicalarkan oleh kenyataan-kenyatan tersebut sama ada secara langsung atau tidak akibat daripada siaran IG Live tersebut,” katanya.

Isnin lalu, lima individu berkenaan telah menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak peguam yang dilantik mereka serta mengakui sudah menerima notis yang dikemukakan Siti Nordiana.

Terdahulu, hangat diperkatakan apabila nama Siti Nordiana disebut-sebut dalam sesi IG Live disertai penyanyi, Lan Solo bersama isterinya, Shiela, Syura, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin.

Menerusi sesi live tersebut, Shiela meluahkan rasa tidak puas hati apabila suaminya, Lan Solo dikatakan menumpang populariti Nana hehingga ada pihak produksi enggan menawarkan pekerjaan kepada mereka disebabkan oleh ‘mulut’ Siti Nordiana.