fbpx

“Tiada Niat Hina Caliph Buskers, Ia Hanya Gurauan”

Beberapa hari lalu, gurauan Nabil Ahmad kepada Caliph Buskers yang cacat penglihatan di program MeleTOP menjadi bualan di media sosial. Tindakan Nabil yang menyuruh langsuir berdiri berdekatan dengan Caliph Buskers kerana mereka pasti tidak akan menyedarinya mengundang kemarahan netizen.

Rata-rata netizen berpendapat gurauan Nabil itu biadap dan tidak kelakar kerana memperlekehkan kekurangan orang lain. Namun, Nabil menjelaskan tindakannya itu hanya gurauan dan tiada niat untuk menghina kumpulan tersebut.

BACA: Nabil Ahmad Dikecam Lagi Persenda Caliph Buskers

Kata Nabil lagi, mereka sudah lama bekerjasama dan saling memahami cara kerja masing-masing. Nabil juga beranggapan isu tersebut sengaja dibangkitkan oleh mereka yang berfikiran negatif.

“Ayat ‘bawa dia kat Caliph Buskers, diorang tak tau’ bukan bertujuan untuk menghina mereka. Ia hanya gurauan yang disalah anggap segelintir pihak,

“Caliph Buskers sudah bersama saya dan program ini selama enam tahun. Jadi kami sudah biasa dan faham cara kerja masing-masing. Memandangkan mereka sebahagian daripada program ini, jadi saya kena gunakan mereka juga. Sekurang-kurangnya mereka tahu apa yang berlaku di set. Bagi saya, tidak ada apa yang salah pada ayat itu.

“Hanya mereka yang berfikir negatif dan kebudak-budakan saja menganggap ia keterlaluan. Lagi satu, kenapa tidak salahkan orang lain yang turut ketawa?” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Azmi yang mewakili kumpulan Caliph Busker turut meminta agar netizen berhenti mengecam Nabil kerana apa yang dilakukan oleh pengacara itu hanyalah gurauan semata-mata.