fbpx

Tiada Lagi Nama Caprice, Mahu Dikenali Sebagai Daddycap Atau Ariz Ramli

Selepas mendirikan rumah tangga dan kini sudah bergelar bapa, penyanyi rap, Caprice tidak mahu lagi digelar dengan nama tersebut.

Memetik laporan Kosmo!, penyanyi itu berkata dia secara rasmi ingin dikenali sama ada dengan nama baharu ‘Daddycap’ atau nama sebenarnya, Ariz Ramli.

BACA: Pernah Tiada Duit Nak Beli Susu Anak, Isteri Caprice Beri Kata Semangat Buat Ibu Tunggal

“Daddycap sebab sekarang saya dah jadi seorang bapa. Bapa kepada Aleesya Sofia dan anak saya pun panggil saya dengan nama itu.

“Atau kalian boleh panggil saya dengan nama penuh ‘Ariz Ramli’. Ini kira nama pentas baharu saya selepas sudah ke fasa perkahwinan. Jadi, tak usah panggil saya Caprice lagi selepas ini. No more,” katanya.

Menurut Ariz lagi, dia membuat keputusan untuk menukar nama disebabkan beberapa isu yang tidak dapat dielakkan. Malah, nama Instagram miliknya juga telah ditukar kepada Daddycap.

“Sebenarnya, ada beberapa isu dalaman dengan beberapa perniagaan yang saya usahakan. Kalau perasan, sebab itu Instagram saya sekarang guna nama ‘signbycaprice’.

“Sekarang ini pun, saya dah mula boleh guna akaun Instagram lama tapi nama tidak lagi Caprice. Daddycap mulai sekarang,” katanya.

Berkongsikan mengenai rumah tangga, Daddycap berkata tanggungjawabnya kini berbeza dan lebih besar apatah lagi sudah mempunyai anak.

“Sekarang sibuk dengan keluarga. Tetapi, keadaan dah sedikit berbeza. Tanggungjawab dah lain sebab saya ada anak sekarang berusia lima tahun.

Senang cerita, banyak benda dah berbeza sekarang. Kena fikir tentang anak, isteri. Memang sangat berbeza tetapi semua yang saya sedang hadapi sekarang merupakan cabaran yang baik untuk memperbaiki diri.

“Saya kenal isteri saya dah agak lama, setahun rasanya. ‘Chemistry’ itu memang dah ada. Tanggungjawab sama tetapi lebih besar sekarang. Saya kena jaga isteri dan anak baik-baik. Saya perlu memastikan Aleesya membesar dengan baik,” ujarnya.

Terdahulu, Ariz mengejutkan peminat apabila mendirikan rumah tangga dengan Farra Inalis wanita berasal dari Kelantan yang juga merupakan ibu tunggal anak satu.