fbpx

“Teruk Keluarga Dihina, Dikafirkan, Dihukum Masuk Neraka”

Turut terpalit dengan kontroversi telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi, pelakon Yana Samsudin meluahkan rasa sedih apabila ahli keluarganya juga turut menjadi mangsa hinaan dan fitnah.

Perkara itu diluahkan oleh Yana menerusi ruangan komen di Facebook Dr. Kamilin Jamilin yang merupakan pensyarah Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

BACA: “Tengok Dahulu Drama Sebelum Jatuh Hukum” – Penerbit

Difahamkan, Dr. Kamilin antara individu yang berkesempatan menonton telefilem tersebut bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Menurut Yana, dia terpaksa menanggung fitnah selama seminggu gara-gara kontroversi isu tersebut.

“Saya sebak sebab teruk ahli keluarga dihina dikafirkan, dihukum masuk neraka. Seminggu tanggung fitnah,” katanya.

Dalam pada itu menerusi posting tersebut, Dr. Kamilin berkata persepsi negatif itu timbul mungkin kerana poster dan gambar yang tersebar, namun beliau mengakui cerita tersebut banyak nilai pengajaran.

Terdahulu, suaminya Fadzil Zahari, selaku penerbit telefilem terbabit dikecam teruk malah turut dicop sebagai ahli neraka. Tidak mudah melatah, Fadzil berkata netizen terlalu cepat menjatuhkan hukum tanpa mengetahui isi sebenar naksah tersebut.