fbpx

“Tengok Dahulu Drama Sebelum Jatuh Hukum” – Penerbit

Belum lagi ditayangkan di kaca televisyen, telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi mencetuskan kontroversi apabila dikatakan mengangkat tema lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) membabitkan pusat tahfiz.

Bukan saja dikecam teruk oleh netizen, malah adik kepada pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari, selaku penerbit telefilem itu turut dicop sebagai ahli neraka.

BACA: Fadzil Zahari Nafi Bergaduh Dengan Farid Kamil

Bagaimanapun, Fadzil berkata mereka yang mengecam terlalu cepat menjatuhkan hukum tanpa mengetahui isi sebenar naksah tersebut dan hanya bersandarkan maklumat yang terhad sahaja.

“Saya tiada kuasa untuk menghalang orang mencaci maki saya atau mengheret sekali keluarga saya masuk neraka, di laman sosial.

“Tetapi, saya berharap mereka yang mudah membuat penilaian sendiri itu tengok dahulu sebelum menghukum orang lain.

“Maklumat diperoleh mereka hanya daripada sekeping gambar, yang didakwa seorang individu sebagai babak hubungan songsang dalam pusat berkenaan, sedangkan ia bukan seperti diperkatakan.

“Kredibiliti RTM sendiri, sebagai stesen televisyen paling lama di negara ini, selain mempunyai panel penapisan, juga seharusnya diyakini kerana sudah pasti ia takkan diluluskan andai melanggar syarat,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, ramai yang mempersoalkan drama tersebut dan menyifatkan ia akan memberi imej buruk kapada sekolah tahfiz. Malah, ada yang mencadangkan supaya diadakan petisyen bagi membatalkan siarannya.