fbpx

Terkenangkan pemergian Allahyarham Siti Sarah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak dapat mengawal kesedihan ketika menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurga ketika menjayakan rakaman persembahan secara virtual semalam.

Ketika persembahan Siti tidak dilihat sebak dan mengalirkan air mata serta tidak dapat menyampaikan lagu itu sepenuhnya. Pengurusnya, Rozi Abdul Razak berkata sebelum rakaman Siti memaklumkan bimbang jika tidak dapat menyanyikan lagu tersebut.

BACA: Shuib Sebak Terima Video Solat Jenazah Ghaib Buat Siti Sarah Dari Masjidil Haram

“Hari ini (semalam) Siti menjalani rakaman persembahan secara virtual dan penganjur memilih salah satu lagu iaitu Aku Bidadari Syurgamu.

“Sebelum memulakan rakaman, Siti sudah memaklumkan bahawa beliau bimbang tidak dapat menyanyikan lagu tersebut kerana perasaan sedih dan sebak di atas pemergian sahabat artis, arwah Siti Sarah Raissuddin,” tulis Rozi.

Kata Rozi lagi, Siti hanya mampu menyanyikan lagu itu dua baris sahaja sebelum nyanyiannya terhenti kerana tidak dapat menahan rasa sebak.

“Memulakan rangkap pertama lagu tersebut, hanya 2 baris sahaja mampu dinyanyikan dan beliau terus berhenti. Lalu kami memohon kepada penganjur untuk menukar lagu dan penganjur juga sangat memahami situasi hari ini,” kata Rozi lagi.

Sementara itu, menerusi satu perkongsian di Insta Story, Siti turut berkongsi video kenangan Siti Sarah dan Shuib memberikan sokongan ketika Konsert Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung pada tahun 2019.