fbpx

Terkandas Di Manila, Ruhainies Beli Tiket Baru RM15,000 Balik Malaysia

Semalam Gunung Berapi Taal di Filipina meletus dan terus memuntahkan asap tebal sehingga hari ini. Susulan insiden itu, Ruhainies yang kini berada di Manila tersekat di negara itu apabila penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan semalam dibatalkan.

Ruhainies yang dihubungi berkata dia bersama ibu bapanya terpaksa mencari jalan lain untuk pulang ke Malaysia dan terpaksa membeli tiket penerbangan baru dari Lapangan Terbang Antarabangsa Clark dengan harga mencecah RM15,000.

BACA: Ruhainies Enggan Kahwin Kerana Desakan, Sindiran Netizen

“Saya sepatutnya pulang ke tanah air jam 9.30 malam tadi. Namun, kerana letusan gunung berapi itu, kesemua penerbangan dibatalkan. Saya dimaklumkan, pihak syarikat penerbangan hanya boleh mengatur untuk pembelian tiket baru selepas seminggu.

“Mahu atau tidak, saya bersama ibu dan ayah terpaksa mencari alternatif lain dengan membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Clark yang terletak dua jam dari Manila.

“Disebabkan pada saat akhir, jadi harga pun mahal hingga mencecah RM15,000. Tapi, saya tidak ada pilihan lain kerana harus pulang juga sebab ada komitmen kerja lain yang perlu diselesaikan,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsikan situasi di lapangan terbang apabila dimaklumkan bahawa semua penerbangan dibatalkan, Ruhainies berkata semuanya terdiam kerana panik. Malah Ruhainies berharap perjalanannya untuk pulang ke Malaysia dipermudahkan.

“Ketika situasi itu berlaku, semua terdiam. Mungkin kerana terlalu panik dengan berita yang dimaklumkan. Apa yang boleh saya kongsikan, ia adalah satu pengalaman yang sangat memenatkan untuk saya sekeluarga.

“Harapnya, perjalanan ini akan dipermudahkan kerana daripada apa yang saya dengar, penerbangan di sebelah petang dan malam dari Clark juga akan dibatalkan,” katanya.

Difahamkan, Ruhainies berada di Manila sejak 10 Januari lalu bagi menghadiri acara Anugerah Televisyen Asia ke-24.