Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelakon veteran Kamarool Haji Yusoff, sambil menyifatkan Allahyarham sebagai legenda perfileman Melayu yang meninggalkan kesan besar menerusi watak-watak ikoniknya.
Fahmi berkata, Allahyarham bukan sahaja berjaya menghidupkan pelbagai karakter yang kekal diingati sehingga hari ini, malah karya serta sumbangannya terus terpahat dalam sejarah industri perfileman negara.
“Peminat filem Melayu, khususnya era 80-an, pasti tidak dapat melupakan watak Farouk menerusi Gila-Gila Remaja. Lakonan Allahyarham begitu berkesan hingga nama watak itu terus melekat di hati peminat.
“Seorang legenda yang telah meninggalkan kesan besar dalam dunia perfileman tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fahmi, pemergian Allahyarham turut dirasai seluruh warga industri seni dan pencinta filem tempatan yang selama ini mengikuti perjalanan kerjaya seninya.
“Hari ini, kita menerima khabar duka… Kamarool Haji Yusoff yang turut dikenali ramai sebagai Cik Man menerusi lakonan ikoniknya dalam Rock Ooo!, telah kembali ke rahmatullah.
“Allahyarham merupakan anak seni yang amat disegani, bukan sahaja dalam industri lakonan, malah oleh seluruh pencinta seni tanah air,” katanya.
Beliau berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memeriahkan dunia seni serta mencipta kenangan buat jutaan rakyat Malaysia akan terus dikenang merentasi generasi.
“Terima kasih Farouk/Cik Man kerana telah mewarnai dunia seni dan mencipta begitu banyak kenangan indah buat generasi demi generasi.
“Jasa, sumbangan dan karyamu akan terus hidup dalam ingatan kami,” katanya.
Fahmi turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
“Tenanglah dikau di negeri abadi. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham dikenang sebagai antara pelakon yang berjaya mencipta dua watak ikonik yang merentasi generasi, iaitu Farouk menerusi Gila-Gila Remaja dan Cik Man dalam Rock Ooo!, sekali gus menjadikan namanya kekal terpahat dalam lipatan sejarah perfileman Melayu.