fbpx

“Terdetik Rasa Menyesal Ketika Dalam Lokap”

Persengketaan diantara Pak Ya dan Lan Pet Pet akhirnya berakhir apabila pelawak itu datang bertemu untuk memohon maaf minggu lalu. Lan berkata, pengalaman dipenjara selama sehari ternyata memberi keinsafan pada dirinya.

Katanya lagi, keluarga dan ibunya turut memintanya untuk membuat permohonan maaf serta tidak mahu perkara itu terus berpanjangan.

BACA: Lan Pet Pet Jumpa Pak Ya Minta Maaf

“Rasa menyesal terdetik ketika saya berada dalam sel besi. Waktu itulah juga Allah bukakan pintu hati untuk saya memohon maaf kepada Pak Ya. Walaupun agak sukar untuk saya mendapatkan nombor telefon beliau, tetapi dengan bantuan kawan, dapat juga saya menghubunginya.

“Permohonan maaf juga dibuat atas permintaan keluarga dan ibu saya. Saya sendiri tidak mahu perkara ini berlarutan. Bimbang juga nyawa saya dicabut sebelum sempat meminta maaf,” katanya kepada BH Online.

Enggan mengenang kembali insiden tersebut, Lan menafikan tanggapan netizen terhadap dirinya seorang yang panas baran.

“Saya seorang pelawak dan memang susah nak marahkan orang. Kalau boleh, saya enggan lagi mengenang cerita yang berlalu dan Pak Ya sendiri meminta supaya saya tidak lagi membangkitkan hal itu,” katanya.

Dalam pada itu, Lan Pet Pet memberitahu dia akan membawa Pak Ya serta isteri untuk mengerjakan ibadah Umrah pada Disember depan.