fbpx

Tauke Jambu, Empat Rakan Didakwa Miliki Dadah

Pelawak Tauke Jambu dan empat lagi rakannya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin Ahad lalu.

Memetik laporan Kosmo, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria bersama empat rakannya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

BACA: Zed Zaidi Anggap Gimik Marketing Tauke Jambu Tak Salah

Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat bersih 0.37 gram, di 15-01 Menara Up, Jalan Puchong di sini pada jam 2.40 pagi, 10 April lalu.

Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Tauke yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah atas alasan pendapatannya terjejas dan ini adalah kesalahan pertamanya. Sementara itu empat lagi tertuduh lain hanya merayu jaminan rendah.

Pihak mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,700 dengan seorang penjamin. Tarikh 9 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.