fbpx

Tak Sedar Hamil, Uqasha Senrose Dua Kali Keguguran

Pelakon Uqasha Senrose berkongsikan dirinya mengalami keguguran sebanyak dua kali selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama aktor Kamal Adli.

Memetik mStar Online, Uqasha berkata keguguran berlaku ketika dia mengalami tempoh haid yang panjang serta tidak mengetahui dirinya hamil.

BACA: Kamal Adli Beri Hadiah Mewah RM12,000 Sempena Hari Jadi Uqasha Senrose

“Dua kali saya gugur, rasa sebak pula bila cakap pasal ini. Mungkin bukan rezeki lagi. Pertama kali saya tak tahu saya mengandung semasa tunaikan umrah.

“Saya datang haid tak berhenti, mula-mula ingatkan hormon selepas kahwin dan saya biar sahaja. Semasa umrah bersama suami selepas kahwin saya tak dapat buat ibadah sangat. Kemudian semasa nak Pilihan Raya Umum ke-15 sekali lagi saya datang haid tak berhenti,” katanya.

Susulan keadaan kesihatannya itu, Uqasha bertemu dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan dan dimaklumkan kandungan berusia dua bulan tidak dapat diselamatkan.

Uqasha berkata lagi, dia juga terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang darah yang terkumpul pada bahagian ovum.

“Saya cakap dengan suami tentang masalah datang haid tak berhenti itu dan bimbang kalau-kalau ada masalah dalaman, saya hubungi doktor sakit puan dia suruh beli ujian kehamilan (UPT).

“Bila buat ujian dapat dua garisan, kami terus pergi hospital kerana bimbang mengandung luar rahim tapi bila periksa anak dalam kandungan dah tak ada,” katanya.

Sedih dengan apa yang berlaku, Uqasha berkata dia tetap meneruskan kehidupan seperti biasa apatah lagi dia dan suami belum merancang untuk memiliki cahaya mata lagi.

“Mestilah sedih, siapa yang selepas kahwin tak nak ada anak. Bila dapat tahu mengandung masa itu tertanya-tanya kenapa tak jaga tapi Kamal bagi semangat kata tak apa kita cuba lagi.

“Saya pun lasak masa itu dengan pengambaran dan kerja yang tidak berhenti menyebabkan kandungan yang masih baru tak kuat lagi. Nak kerja itu boleh tapi bukan yang kasar dan berat-berat.

“Alhamdulillah sekarang okay, saya pun sedang jalani pengambaran untuk drama 70 episod jadi saya tak rancang untuk ada anak buat masa ini,” katanya.

Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis diadakan secara tertutup di Janda Baik, Pahang.