fbpx

Tak Mahu Ambil Risiko, Elfira Loy Elak Bawa Anak Keluar Rumah

Apabila bergelar ibu, sudah pasti anak sentiasa menjadi keutamaan termasuklah pelakon Elfira Loy yang sedikit paranoid tentang soal keselamatan dan nyawa keluarganya berikutan pandemik COVID-19 melanda negara.

Menurut Elfira, bimbang seandainya lalai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga memudaratkan diri, anak, suami dan orang terdekat, dia tidak akan lama jika berada di luar.

BACA: Elfira Loy Dedah Suami Kena Hafal Surah Al-Mulk Sebelum Nikah

“Saya sampai satu tahap bimbang jika lalai dan tersilap langkah dalam mematuhi SOP, ia akan memudaratkan diri, anak, suami dan orang terdekat. Kalau boleh saya tak nak lama-lama berada di luar.

“Kita punyalah jaga SOP dan berhati-hati, tapi rasa sedih apabila ada segelintir yang ambil mudah bab itu. Ada yang macam tak makan saman walaupun akan dikompaun RM1000 jika tidak memakainya.

“Tapi kalau kita sama-sama sepakat menjaga diri dan sekeliling terutama dengan memakai pelitup muka, itu sudah bagus,” katanya.

Dalam pada itu, Elfira berkata dia lebih selesa berkongsikan momen dan perkembangan anaknya di rumah tanpa perlu dibawa keluar berjalan bertemu orang ramai.

“Saban hari ada saja keletahnya yang mencuit hati. Saya tak ketinggalan berkongsi apa saja detik atau momen indah fasanya bertambah umur di Instagram. Cuma anak saya ini kategori ‘baby PKP’.

“Dia tak berjumpa sangat dengan orang di luar dan masanya pun banyak dihabiskan di rumah. Saya tak mahu ambil risiko. Dia juga jenis happy go lucky dan gemar tersenyum.

“Cuma kalau ada orang datang rumah, dia susah nak mendekati mereka dan ambil masa untuk mesra. Dia macam seolah-olah tahu dengan sitasi pandemik sekarang,” katanya.