fbpx

Tak Hadir Mahkamah, Shuhada Kesal Dengan Hafidz Roshdi

Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri kesal apabila Hafidz tidak hadir sesi tuntutan hadanah di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.

Memetik Harian Metro, Shuhada berkata tindakan Hafidz itu juga boleh melambatkan proses perbicaraan tuntutan hadanah yang difailkan oleh pelakon itu sebelum ini dan kes itu perlu diselesaikan segera.

BACA: Shuhada Dedah Hampir 6 Bulan Hafidz Roshdi Tak Jenguk Anak

“Seperti biasa, dia tak datang. Katanya, ada hal yang tak dapat dielakkan. Dia sepatutnya berikan komitmen kerana ini membabitkan anak-anak. 

“Kalau boleh, kita nak percepatkan sebab dia yang failkan. Jadi, dia kena berikan kerjasama yang sepatutnya.

“Hal anak-anak, saya memang sensitif. Kalau boleh, nak ada keputusan cepat-cepat. Saya nak ada hak itu. Sekarang, anak-anak semakin membesar dan semua urusan rasmi perlukan sijil hak penjagaan itu. Jadi, janganlah anggap benda itu remeh.

“Saya dari jauh boleh datang, dia yang dekat tak boleh datang. Kenapa? Berilah kerjasama. Dia yang failkan, dia yang bersemangat sangat pada awalnya. Jadi, teruskanlah semangat itu dan janganlah separuh jalan,” katanya.

Susulan itu, perbicaraan kes hadanah itu terpaksa ditunda ke 28 Mei ini dan Shuhada berharap selepas ini bekas suaminya itu dapat memberikan kerjasama untuk percerpatkan proses.

“Ini belum habis lagi dan sangat panjang lagi. Bagi saya membazir masa sebab tak jumpa penyelesaiannya. Jadi, saya nak percepatkan proses itu sebab dia pun dah ada kehidupannya. Jadi, saya kena berjuang untuk anak-anaklah.

“Saya kena dapatkan hak untuk anak-anak. Kalau boleh saya nak anak-anak gembira dan hidup senang sahaja. Saya harap selepas ini dia berikan kerjasama. Kita mudahkan orang lain, Allah akan mudahkan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini meluluskan permohonan Shuhada bagi menambah ibunya, Wan Latipah Yusof sebagai penjaga kepada anak-anaknya dan sebagai pihak dalam interim hadanah dan induk hadanah.

SUMBER: Harian Metro