fbpx

“Tak Dapat Nak Gambarkan Perasaan Bila Berhijab, Memang Sangat Indah”

Membuat keputusan untuk berhijab awal September, pelakon Hannah Delisha meluahkan rasa syukur keputusannya untuk berhijrah itu mendapat reaksi positif dan ramai mendoakan semoga dirinya terus istiqamah.

Menurutu Hannah, dia mula tergerak hari untuk berhijab pada penghujung Ramadan lalu namun terpaksa menangguhkan hasratnya itu memandangkan ada komitmen kerja yang perlu diselesaikan. Namun dia akui kini berdepan ujian sama ada dia cukup bersedia atau tidak untuk menutup aurat.

BACA: Sudah Lama Simpan Niat, Hannah Delisha Nekad Berhijab

“Sebenarnya, penghujung Ramadan lalu saya sudah tergerak hati mahu bertudung. Saya pasang niat selepas tamat penggambaran drama Cinta Sekali Lagi, saya akan bertudung.

“Selepas tamat penggambaran, saya bertanya kepada diri sendiri betulkah saya bersedia untuk bertudung? Biasalah, apabila sudah pasang niat baik, ada sahaja bisikan yang mengganggu.

“Tak sangka pula dapat reaksi luar biasa. Apabila baca komen-komen, banyak yang positif dan mendoakan saya terus istiqamah,” katanya.

Tidak dapat menggambarkan perasaan apabila membuat keputusan untuk bertudung, Hannah berkata dia lebih tenang selepas berhijab. Ujarnya dia hanya mahu menjadi hamba yang lebih baik.

“Ramai yang bertanya apa sebab saya memutuskan untuk bertudung. Tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan, namun rasanya memang sangat indah. Ada rasa perasaan bercampur baur antara tenang, rasa kurang selamat, sayu sebab saya hanya cuma mahu jadi hamba Allah yang baik,” katanya.

Ada berkongsikan sebab mangapa dia bertudung menerusi saluran YouTube miliknya,
Hannah berharap perkongsiannya itu akan menjadi inspirasi kepada wanita Islam lain yang berdepan keraguan sama.

“Tiada siapa yang boleh menilai iman kita kecuali Allah. Saya harap kisah ringkas saya ini boleh menjadi inspirasi kepada wanita lain yang rasa masih persoalkan diri, tercari jawapan sama ada mahu pakai tudung atau tak.

“Insya-Allah, apabila kita sentiasa jaga hubungan kita dengan Allah, semuanya akan terjaga. Cuma ingat, apabila Allah tarik nyawa kita, kita sudah tidak fikir pendapat orang lain. Kita hanya perlu fikir apa yang Allah fikir mengenai kita,” katanya.