fbpx

Sudah Lama Simpan Niat, Hannah Delisha Nekad Berhijab

Memuat naik gambar berhijab dengan kapsyen bertulis Bismillah di Instagram semalam, akhirnya segala tanda tanya mengenai perkongsiannya itu terjawab apabila Hannah Delisha mengakui sudah pun berhijab.

Sudah sekian lama menyimpan keinginan berhijrah, pelakon berasal dari Singapura ini tekad berhijab, sejak empat hari lalu. Hannah berkata dia sudah berniat untuk berhijab sejak Ramadan lalu namun terikat dengan komitmen kerja.

BACA: Kongsi Foto Dengan Kapsyen ‘Bismillah’, Hannah Delisha Sudah Berhijab?

“Jika ikutkan, saya sudah berniat mahu memakai hijab sejak Ramadan lalu. Bagaimanapun, disebabkan terikat dengan komitmen drama Cinta Sekali Lagi, niat berhijrah terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Namun, saya tidak menangguhkan hasrat sebaik selepas penggambaran. Semoga saya terus istiqamah. Alhamdulillah.

“Saya mula bertudung sejak empat hari lalu. Namun, hanya berkongsi berita penghijrahan dalam laman sosial, semalam,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Hannah berkata jiwanya semakin tenang apabila menutup aurat. Ujarnya, dia hanya menunaikan tanggungjawab sebagai wanita Islam dan menafikan kononnya dia bertudung kerana bakal berkahwin.

“Saya hanya menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT. Dalam hidup, kena sentiasa berubah dan memperbaiki kekurangan diri. Saya mahu menjadi muslimah yang baik. Insya-Allah.

“Saya juga bersyukur kerana keputusan dibuat pada saat tiada hutang penggambaran yang memerlukannya tidak bertudung. Tidak, saya bertudung bukan sebab mahu kahwin,” katanya.