fbpx

Tajul Dedah Sebab 2 Tahun Rahsiakan Perkahwinan

Pejam celik baru-baru ini penyanyi Tajul menyambut ulang tahun perkahwinannya yang kelima dengan isteri Nurul Shamieza Eddie.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Tajul mendedahkan sebab utama mengapa dia merahsiakan perkahwinannya selama dua tahun sebelum ini.

BACA: Tajul Berjaga-Jaga Terima Hadiah, Makanan Daripada Peminat

Tajuk yang mendirikan rumah tangga pada 10 Disember 2018 berkata dia terpaksa merahsiahkan perkara itu bagi menghormati pemergian bapa mentuanya ketika itu.

“Ramai tanya saya kenapa sorokkan masa nikah. Ini kerana arwah bapa mentua baru meninggal dunia ketika itu. Jadi, kami putuskan untuk diamkan saja perkara itu demi menghormati pemergiannya. Namun, tak sangka sampai dua tahun dapat merahsiakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Tajul berkata kerana jadual kerjanya yang padat turut menjadi faktor dia belum terbuka berkongsikan mengenai isterinya.

“Waktu itu saya sibuk bekerja. ‘Out station’ sana sini. Saya bersyukur isteri memahami kerjaya saya. Dia tak pernah cakap apa-apa, saya pun tak ada niat lain selain itu,” katanya.

Tajul mengakui banyak perkara dipelajari selama lima tahun berumah tangga dan berazam untuk terus memperbaiki diri serta menjadi ketua keluarga yang baik.

“Insya-Allah saya doakan yang terbaik untuk kita satu keluarga. Selama lima tahun banyak asam garam rumah tangga kita lalui, kita belajar dari kesilapan dan berubah jadi lebih baik,” katanya.

Terdahulu, pada tahun 2019 Tajul mengejutkan peminat apabila mengakui bahawa dia sudah dua tahun berkahwin. Ketika itu Tajul berkata karier nyanyiannya sedang berada di puncak dan memberi alasan bimbang jika peminat lari.