fbpx

Syura Muat Naik Status Bosan Hidup Menjanda?

Nampaknya penyanyi Syura Badron pula menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai dirinya dan menggunakan gambarnya di Facebook.

Syura turut meluahkan rasa kesal apabila individu itu bertindak menjatuhkan maruahnya dengan memuat naik status menggambarkan seolah dirinya terdesak untuk mencari pasangan.

BACA: Hilang Berat 12kg, Syura Akui Alami Sakit Misteri

“Saya sedar akaun palsu itu dah wujud lama dan sebenarnya saya tak ambil kisah sangat tapi kali ini individu itu sudah melampau sebab menyamar sebagai diri saya.

“Individu itu memuat naik status yang boleh menyebabkan orang luar berfikiran negatif terhadap saya. Kebanyakan status yang dikongsikan memperlihatkan saya seperti desperate sangat nak cari suami,” katanya kepada mStar Online.

Kata Syura lagi, dia sedia untuk mengambil tindakan selanjutnya andai perbuatan individu berkenaan melampaui batas. Buat masa ini Syura berkata dia meminta netizen untuk melapor terhadap pengendali Facebook berkenaan.

Hampir enam tahun bergelar ibu tunggal, Syura memberitahu dia tidak pernah menolak dan memasang niat untuk berkahwin lagi tetapi belum tiba masa yang sesuai.

“Soal jodoh ini, saya tak berani nak ulas sangat sebab kita pun tak tahu bila Allah nak beri rezeki itu. Tapi saya tak pernah rasa fobia atau takut nak kahwin lagi,” ujarnya.

Syura dan suaminya Mohd Fadhly Md Yassin telah berpisah pada Ogos 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak Nurul Dania Irdani, Nurul Qaisara Sofia dan Muhammad Irfan Arya.