fbpx

Syida Melvin Akui Pemalas Masa Sekolah, Pernah Gagal Semua Subjek

Adik beradik pelakon Syatilla Melvin sememangnya dikenali ramai, maklumlah semuanya cantik-cantik belaka. Bahkan, dua orang adik beradiknya turut mengikut jejak langkah Syatilla menceburkan diri dalam bidang seni iaitu Syifa dan Syida Melvin.

Berkongsikan kenangan ketika zaman persekolahan, Syida Melvin mengakui tidak suka belajar dan seorang yang pemalas. Malah, Syida tidak malu mendedahkan bahawa dia pernah gagal kesemua mata pelajaran yang diambilnya ketika di sekolah.

BACA: Syifa Melvin Akui Gagal Matematik Dalam SPM, Tapi Tak Bodoh Kira Duit

“Waktu tingkatan 1 sehingga tingkatan 3, memang aku paling tak suka belajar, pemalas, kerja sekolah pun selalu tak siap! Pernah sekali masa tingkatan 1, aku pernah gagal semua subjek wey! Ya Allah, aibnya..haha,” tulisnya.

Bagaimanapun, menurut Syida, dia kemudian mula memberikan fokus kepada pelajaran selepas memasuki peringkat menengah atas. Menurut Syida, dia akui pernah bimbang tentang masa depan sekiranya tidak mampu cemerlang dari segi akademik.

“Tapi bila dah masuk tingkatan 4, tingkatan 5, aku dah mula belajar betul-betul. Dah mula rajin sikitlah. Waktu sekolah bukan budak kelas atasan. Level pandai kami biasa-biasa sahaja.

Syida berkata setelah meningkat dewasa dia percaya bahawa pengalaman dan kemahiran merupakan salah satu faktor kejayaan berbanding keputusan yang cemerlang ketika di bangku sekolah.

“Bila kita dah dewasa, baru kita boleh nampak yang keperluan kita bila untuk melonjak naik adalah lebih kepada pengalaman berbanding berapa A yang kalian dapat masa SPM dulu.

“Saya tak kata yang ilmu tu tak penting, tapi ada yang lebih penting dari tu iaitu kemahiran hampa untuk mengorak langkah bila dah besar nanti,” katanya.

Sebelum ini, Syifa Melvin tidak malu berkongsikan bahawa dia lemah dalam subjek Matematik dan disebabkan itu dia terpaksa melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UITM).