fbpx

Syasya Dolla Tak Terasa Hati Nenek Tegur Imej Seksi

Penyanyi dan juga ahli kumpulan Dolla iaitu Syasya berkata dia tidak ambil hati dengan teguran neneknya yang juga pelakon, Rozie Othman berkenaan penampilan seksinya.

Memetik BH Online, Syasya berkata dia tidak menyimpan perasaan marah kerana teguran diberikan neneknya itu tanda prihatin terhadap dirinya.

BACA: Nenek Nasihat Syasya Dolla Jangan Pakai Seksi Sangat

“Bagi saya, apa yang nenek katakan ada betulnya. Apa yang saya boleh katakan, sebagai generasi muda, kita mempunyai gaya tersendiri. Zaman dahulu dan sekarang banyak bezanya.

“Insya-Allah, apa yang boleh perbaiki, saya perbaiki. Dalam masa sama, saya membawakan imej dan menjadi diri sendiri, tak mahu berpura-pura jadi orang lain.

“Saya selalu dengar nasihat nenek. Saya tahu nenek mempunyai niat baik dan menegur saya sebagai cucunya. Saya sayangkan nenek,” katanya.

Dalam pada itu, Syasya berkata nenek ada menghubunginya berpesan perkara sama dan teguran tersebut tidak menjejaskan hubungan mereka.

“Nenek telefon saya dan berpesan menjaga pemakaian. Dia sebenarnya seorang nenek yang ‘cool’, sebab dia seorang pelakon dan memahami industri seni.

“Tetapi, sebagai nenek pastinya dia risau memandangkan orang suka bercakap macam-macam. Jadi, nenek hanya prihatin.

“Kami pun baik-baik sahaja dan rapat antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, Syasya berkata dia akan ambil langkah berhati-hati dalam pemakaian namun memberitahu dia mahu menjadi diri sendiri.

Saya rasa ini adalah imej saya dan mempunyai pendapat saya tersendiri. Sebab saya percaya setiap orang ada pendapat tersendiri mengenai pemakaian.

“Kalau ada merasakan saya terlampau seksi, insya-Allah saya akan cuba kurangkan.

“Tapi seperti yang dikatakan, ini imej saya dan mahu menjadi diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, Rozie menasihatkan Syasya tidak tampil dengan pakaian terlalu seksi hingga jadi perhatian ramai dan dikecam netizen.