fbpx

Nenek Nasihat Syasya Dolla Jangan Pakai Seksi Sangat

Penampilan ahli kumpulan wanita, Dolla sering kali dikecam netizen apabila dilihat tampil agak keterlaluan dan ada yang mengatakan hanya menjual imej seksi semata-mata berbanding bakat.

Namun, pasti ramai tidak tahu bahawa ahli kumpulan Dolla iaitu Syasya Rizal merupakan cucu kepada pelakon veteran, Rozie Othman.

BACA: Dolla Menyanyi Di Majlis Iftar, Riak Wajah Anak-Anak Tahfiz Jadi Perhatian

Memetik Harian Metro, Rozie berkata dia sudah menasihat cucunya itu tidak tampil dengan pakaian terlalu seksi sehingga dikecam netizen.

Menurutnya lagi, dia sudah menjalankan tanggungjawab dengan memberi nasihat namun terpulang pada cucunya itu sama ada untuk menerimanya serta mendoakan agar diberikan hidayah.

“Mengenai pemakaian seksi Syasya itu saya tahu dan sudah cuba menasihatinya. Saya cakap pada dia (Syasya), seksi-seksi macam ni, nenek tak berkenan. Kurangkan, cuba ubahlah.

“Saya pun dulu pernah muda seperti dia, jadi fahamlah juga jiwa orang muda ini. Cuma, apa yang saya harap dia dapat terima nasihat diberikan itu.

“Saya doakan yang baik-baik untuk dia agar mendapat hidayah daripada Allah. Saya juga berharap dia akan terus berjaya di dalam karier seni diceburinya ini. Dia masih muda dan perjalanan juga jauh lagi,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya, pelakon berusia 60 tahun itu kembali aktif berlakon sejak tahun lalu selepas berehat selama lima tahun akibat masalah kesihatan jangkitan kuman pada paru-paru.

“Alhamdulillah, sekarang tahap kesihatan saya semakin pulih, sihat dan sudah boleh aktif berlakon semula. Jadi, bagi produksi yang ingin memberi tawaran lakonan, saya alu-alukan.

“Tapi, saya harap tawaran bayaran juga berpatutan dan jangan bersikap diskriminasi kepada pelakon lama kerana kami komited dengan tanggungjawab pada watak digalas. Kami berlakon kerana minat dan ia sudah sebati dengan jiwa,” katanya.