fbpx

Syamsul Yusof, Puteri Sarah Bakal Timang Anak Perempuan

Dijangka bakal melahirkan anak perempuan pada 19 Mac ini, pelakon Puteri Sarah yang juga isteri kepada pengarah terkenal Syamsul Yusof, mengucapkan syukur di atas rezeki tersebut dan berharap proses bersalin kelak akan dipermudahkan.

Dalam pada itu, Puteri Sarah memberitahu dia juga berharap dapar bersalin secara normal memandangkan ketika anak pertama dilahirkan secara pembedahan. Bagaimanapun, dia mengikut sahaja apa yang terbaik seperti yang disarankan oleh doktor.

BACA: Puteri Sarah Kongsi Pengalaman Umrah Ketika Hamil

“Alhamdulillah, ini rezeki buat kami sekeluarga. Gembira dan syukur apabila doktor mengesahkan saya hamil anak perempuan. Insya-Allah, jika segalanya dipermudahkan cukup sepasang anak kami.

“Kalau boleh berharap sangat dapat bersalin secara normal. Apatah lagi anak pertama dulu dilahirkan secara pembedahan. Namun, saya berserah dan ikut saja apa yang terbaik menurut pandangan doktor,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsikan pengalaman hamil anak kedua, Puteri Sarah memberitahu dia lebih banyak duduk dirumah kerana sering cepat letih tambahan pula perlu beri perhatian pada anak sulung.

“Pada peringkat awal kehamilan saya kerap juga ikut suami ke acara dan melakukan aktiviti lain terutama berkaitan perniagaan.

“Namun, selepas kandungan kian membesar saya jadi cepat letih. Kalau boleh nak baring saja dan tidak ke mana-mana. Anak sulung pula semakin lasak. Jadi, saya kena berikan perhatian. Walaupun ada pembantu rumah, urusan mengenai anak saya buat sendiri,” katanya.

Puteri Sarah dan pengarah Syamsul Yusof mendirikan rumah tangga pada tahun 2014 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Syaikul Islam Mohd Shamsul yang kini berusia dua tahun.