Kembali dengan musim kedua, ramai yang menantikan kesinambungan drama Nur yang mencetuskan fenomena tahun lalu. Sinonim dengan watak Ustaz Adam, pelakon Syafiq Kyle memberitahu dia tidak menolak jika memang sudah takdir jodohnya dengan seorang pelacur.
Menurut Syafiq, dia menerima dengan hati terbuka dengan ketantuan Allah itu. Katanya lagi, siapa dirinya untuk mengadili golongan tersebut dan baginya mereka tetap manusia biasa.
BACA: Isu Video Lucah, Syafiq Kyle Ada Nasihat Untuk Aiman Tino
“Saya terima walaupun jodoh saya suatu hari nanti dengan seorang pelacur. Kalau dah jodoh (dengan pelacur), saya kenalah terima. Persepsi saya terhadap pelacur, mereka tetap manusia biasa yang inginkan kehidupan berkasih sayang.
“Siapa saya untuk labelkan mereka atau mengadili mereka kerana kita semua hanya manusia biasa,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Syafiq memberitahu dia tidak kecewa jika Nur 2 tidak mencetuskan fenomena seperti siri yang pertama. Menurutnya, dia sudah melakukan yang terbaik dan ikhlas menjalankan tanggungjawab untuk drama tersebut.
“Saya takkan sedih jika penerimaan penonton untuk drama Nur 2 ini tidak sehebat siri terdahulu kerana sudah melakukan yang terbaik. Saya puas kerana semua yang saya lakonkan untuk watak Ustaz Adam dibuat secara ikhlas dan saya yakin penerimaanya pasti baik juga,” katanya.