fbpx

Syafie Naswip Terima Mesej Ugutan Santau Di Instagram

Tiada angin tiada ribut, pelakon Syafie Naswip mendedahkan dia menerima mesej ugutan menerusi Instagram miliknya. Tidak tahu apa salahnya, Syafie berkata dia langsung tidak mengenali individu berkenaan.

Memuat naik paparan skrin mesej itu menerusi Instagram, individu itu memberi amaran sanggup berhabis duit untuk menghantar santau kepada Syafie dan akan berusaha melakukan apa sahaja cara untuk menyantau pelakon tersebut.

BACA: Syafie Naswip Muak Isu Rogol Jadi Modal Netizen Berbalah

Difahamkan tidak lama kemudian pengguna Instagram palsu tersebut sekali lagi menghantar Direct Message melemparkan kata-kata kesat serta menghina ibu Syafie.

“Kau nih dok pos kat IG pula. Muka kau dengan mak macam sial lah,” tulis akaun palsu tersebut.

Menurut Syafie, pengguna Instagram palsu tersebut telah menggunakan gambar-gambar dan video-video daripada Instafamous yang menggunakan nama tokwann_.

“Instafamous tersebut ada menghubungi adik saya dan memberitahu bahawa gambar-gambarnya digunakan oleh akaun palsu tersebut. Dia bersumpah bahawa bukan dia yang menghantar mesej tersebut kepada saya.

“Pada masa yang sama dia juga telah membuat laporan polis mengenai hal tersebut setelah melihatnya di Instagram saya,” katanya.

Dalam pada itu, Syafie telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Nilai dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.  Kata Syafie lagi, dia juga berharap individu tidak bertanggungjawab itu berjaya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.