fbpx

Suntingan Drama Dikritik Netizen, Ayda Jebat Mohon Maaf

Sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen sejak awal Ramadan dan menjadi bualan di media sosial, namun drama Bukan Gadis Biasa tidak terlepas dari kritikan netizen walaupun ramai yang meminati drama berkenaan.

Sebelum ini hangat diperkatakan apabila ada yang mengkritik teknik suntingan yang disamakan dengan budak sekolah, nampaknya drama tersebut berterusan dikritik dimana netizen mendakwa suntingan drama bersiri itu di tahap teruk.

BACA: Jinggo Perjelas Kenapa Tak Pilih Pelakon Lama Bawa Watak Opah

Sedar tentang kritikan tersebut, Ayda Jebat selaku peneraju utama memohon maaf jika ada penonton yang kurang senang dengan perkata itu. Malah, Ayda mengakui penonton kini semakin bijak untuk menilai sesebuah drama.

“Saya akui penonton sekarang semakin bijak dan boleh melihat sendiri kelemahan yang berlaku . Saya mohon jangan salahkan editor atau penyunting semata-mata kerana pada pendapat saya, semuanya harus bekerjasama.

“Saya salahkan diri sendiri. Kadang-kadang, sebagai pelakon, saya terlupa menjaga konti atau kesinambungan lakonan saya. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Kru yang menjaga konti juga mungkin terlepas pandang.

“Akhirnya, penyunting pun tak boleh nak buat apa dan mereka harus menyunting drama itu menggunakan visual sedia ada,” katanya .

Dalam pada itu, Ayda berkata meskipun drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd itu terpalit beberapa kontroversi namun tetap menerima sambutan yang baik daripada penonton.

“Saya bersyukur kerana masih ramai penonton yang mengambil mesej positif dalam drama bersiri ini untuk dijadikan teladan dan contoh. Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang kurang itu datang dari saya sendiri,” katanya.