Baru saja menimang cahaya mata ketiga semalam, timbul khabar angin mendakwa penyanyi Adira Suhaimi telah diceraikan suaminya, Dato Red ketika sedang sarat hamil.
Tampil membuka mulut mengenai isu itu, Adira menafikan sekerasnya dakwaan dia wanita yang dikatakan hadir ke kamar mahkamah seperti yang ditulis di sebuah ruangan gosip portal hiburan itu baru-baru ini.
BACA: Adira Selamat Lahirkan Anak Ketiga, Bayi Perempuan
“Saya ada dengar cerita ini dan ramai juga yang menyebut nama saya. Walaupun gosip itu tidak menyatakan siapa artis wanita itu, tapi ramai yang membuat spekulasi ia adalah saya.
“Saya sebenarnya malas nak bercakap perkara sama berulang kali terutama gosip remeh dan berita yang sengaja direka untuk melemahkan saya. Dari dulu sampai sekarang, saya takkan layan dan buat tak tahu saja.
“Saya tidak mahu memeningkan kepala memikirkan perkara yang tak betul. Biarlah orang nak cakap apa, yang penting saya dan suami tahu kebenarannya,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Dato Red akui terkejut dengan khabar angin tersebut dan menyifatkan gosip itu sangat mengarut. Katanya lagi, beliau masih waras dan tidak akan melakukan perkara sedemikian.
“Saya bersumpah dengan nama Allah, saya tidak buat perkara itu. Sangat terkejut depan apa yang diperkatakan. Saya masih waras untuk buat semua ini. Selagi saya ada kudrat dan bernyawa, saya akan terus menjaganya dengan anak-anak,” katanya.
Ada saja mulut jahat nak porak perandakan rumah tangga orang. Netizen pun janganlah sewenang-wenangnya membuat spekulasi tanpa sebarang bukti jelas. Apa pun selamat berpantang diucapkan kepada Adira.