fbpx

Suhaimi Saad Anjur Seminar Keibubapaan, Bincang Isu Vaksin

Nampaknya bekas anggota kumpulan nasyid In Team, Suhaimi Saad sekali lagi mencetuskan kontroversi sekali lagi apabila baru-baru ini beliau ada memuat naik poster berkenaan seminar yang dianjurkan olehnya.

Menerusi butiran poster tersebut, seminar keibubapaan dan pendidikan awal anak-anak itu akan disampaikan sendiri oleh Suhaimi yang akan diadakan pada 31 Mac ini di Shah Alam dengan bayaran sebanyak RM269 setiap peserta.

BACA: Suhaimi Saad Persoal Kewujudan Graviti Pula

Beberapa topik hangat akan dibincangkan menerusi seminar tersebut antaranya mengenai pendidikan di rumah, isu vaksin dan kajian bumi rata.

Isterinya, Ina Naim dan anak-anak beliau akan menjadi penampilan istimewa di seminar itu. Bukan itu sahaja, Suhaimi turut akan menyanyi di seminar itu.

Perkongsian Suhaimi mengenai seminar tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang kurang senang dengan tindakannya itu. Namun ada juga yang berminat untuk turut serta dalam seminar tersebut.

Ramai yang bertanyakan di mana lokasi seminar itu akan diadakan. Bagaimanapun Suhaimi memberitahu beliau merahsiakan lokasi tersebut atas faktor keselamatan dan hanya diberitahu kepada peserta yang sudah membuat bayaran sahaja.

Dalam pada itu, Suhaimi memberitahu dia mendapat idea untuk menganjurkan program tersebut selepas ramai yang bertanyakan kepadanya serta meminta pandangan tentang cara mendidik anak.