Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Aleya mengakui ada menerima komen negatif daripada netizen mengenai pemakaian subang pada bahagian hidungnya namun dia memilih untuk mengabaikannya.
Menerusi satu podcast bersama Sembang Wanita Xtra, Aleya berkata subang hidung yang dipakainya hanyalah sekadar aksesori, malah pernah menyimpan hasrat untuk tindik di bahagian kening, bibir dan lidah.
BACA: Nikah Pagi Tadi, Sharifah Aleya Selamat Bergelar Isteri Kepada Miko
Bagaimanapun, Aleya berkata selepas dia melihat banyak pantang larang yang perlu diikuti dia melupakan keinginan tersebut apatah lagi dia suka makanan pedas.
“Saya akui memang menerima komen negatif daripada netizen kerana menindik hidung. Bertenang, ini sekadar subang hidung.
“Saya memang dah lama teringin nak buat termasuk di bahagian kening dan lidah. Tapi nak pakai di bahagian kening agak remeh, kena pakai saiz yang betul sebab kalau tidak dia jatuh dan saya takut sebab dia akan tinggalkan parut.
“Di bahagian lidah pula, banyak pantang larang contohnya, saya perlu makan makanan lembut selama dua minggu dan tak boleh makan makanan pedas. Saya seorang yang suka makan pedas. Jadi saya lupakan hasrat tersebut,” katanya.
Sementara itu, Aleya bagaimanapun berkata suami suka dan keluarganya tidak mempersoalkan mengenai penampilannya itu.
“Saya menyukainya. Suami saya suka. Cuma ibu dan bapa saya ada bertanya tak sakit ke. Tapi mereka tak marah. Mak saya kadang-kadang puji bila saya bertukar-tukar subang. Saya suka, korang tak suka tak apa,” katanya.