Isterinya, penyanyi Siti Sarah kini sedang hamil anak keempat, pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu akui terkejut apabila ibunya yang mengalami alahan.

Shuib berkata ibunya ada menghubunginya dengan nada marah-marah serta mengadu sering muntah-muntah dan tidak lalu untuk makan seperti alahan wanita sedang hamil.

BACA: Siti Sarah Sahkan Hamil Anak Keempat

“Ada satu hari ibu saya telefon. Dengan nada marah-marah dia pesan jangan susahkannya. Rupa-rupanya ibu beritahu dia selalu muntah-muntah dan tidak ada selera makan.

“Saya terkejut apabila dia turut mengalami alahan teruk ketika Sarah baru hamil. Lama juga, lebih kurang sebulan ibu mengalami alahan itu,” katanya.

Lebih lucu, Shuib berkongsi cerita apabila ibunya ke klinik untuk mendapatkan rawatan namun diberikan alat ujian kehamilan.

“Ada satu lagi insiden lucu apabila ibu diberikan alat ujian kehamilan apabila pergi mendapatkan rawatan. Ibu saya marah doktor kerana dia sudah berusia 57 tahun dan sudah menopos!,” katanya.

Dalam pada itu, Sarah berkata dia tidak menyangka ibu mentuanya melalui alahan sepertinya. Malah, ibu mentuanya turut sama sepertinya hanya boleh makan buah oren sahaja.

“Ketika kehamilan terdahulu, saya memang tidak boleh makan sebab mesti akan muntah. Ketika itu, saya hanya boleh makan buah oren. Peliknya, ibu mentua saya juga alami perkara yang sama dan dia hanya boleh makan oren.

“Namun, alahan itu sudah kembali kepada saya, tapi tidaklah seteruk dulu. Kali ini saya boleh bekerja dan rajin untuk berbuat sesuatu,” katanya.