Baru-baru ini perkongsian Siti Sarah menjadi perhatian ramai apabila memuat naik foto anak bongsunya seolah menginginkan adik lagi. Suaminya, pelawak Shuib Sepahtu berkata dia sememangnya mahu menambah cahaya mata lagi.
Ujarnya, melihatkan usia anak-anaknya yang sudah meningkat, Shuib berkata mereka mahukan anak lagi dan pasti meriah jika mempunyai ramai anak, namun semuanya bergantung pada rezeki daripada Allah.
BACA: Siti Sarah Syukur Siasatan SPRM Terhadap Shuib Berjalan Lancar
“Sebenar-benarnya kalau ditanya saya memang inginkan anak lagi. Kalau ikutkan jarak umur mereka dekat-dekat, 9 tahun, 7 tahun dan 5 tahun. Berbeza dua tahun antara mereka. Sekarang ni yang bungsu jaraknya dah jauh sangat.
“Jadi kalau ada rezeki memang teringin nak ada cahaya mata lagi. Di rumah pun ada anak adik ipar dan saya pun macam seronok bila ada budak-budak ramai di rumah,” katanya.
Ditanya soalan adakah bersedia untuk hamil lagi, Sarah nampak sedikit gelisah. Sarah berkata dia agak takut untuk melalui pertukaran hormon, tambahan pula Shuib selalu tidak ada bersama setiap kali bersalin.
“Saya takut sebenarnya. Saya takut melalui pertukaran hormon terutamanya selepas bersalin nanti. Saya boleh handle everything, Insya-Allah. Cuma bila tiba masa pertukaran hormon, itu yang bukan mudah dan itu yang menakutkan.
“Tambahan pula kebetulan setiap kali Sarah bersalin, Shuib selalu tidak ada bersama kerana dia terikat dengan penggambaran filem dan macam-macam kerja lagi.
“Tapi kalau ada rezeki, Sarah akan demand. Sarah akan demand supaya dia ada bersama. Kita buat kontrak supaya dia ada di rumah dan kalau dia tak ada, nanti dia kena saman,” seloroh Sarah.
Bagaimanapun, Sarah berkata jika diberikan rezeki dia sanggup untuk hamil lagi namun meletakkan syarat bahawa Shuib mesti ada bersama di sisinya.
“Kalau ikutkan masa awal-awal kahwin dulu memang kita merancang untuk mempunyai empat orang cahaya mata, tapi itu semua perancanganlah. Semuanya terletak pada rezeki daripada Yang Maha Esa,” kata Shuib.