fbpx

Siti Saleha Akui Penat Jadi Pelakon

Meskipun kerjaya sebagai pelakon dilihat menyeronokkan kerana sering dihambat dengan populariti, namun ia memerlukan komitmen yang tinggi serta perlu bersedia untuk bekerja tidak kira waktu siang mahupun malam.

Akui kerjaya sebagai pelakon itu memenatkan, disebabkan itu Siti Saleha kini agak memilih soal naskhah terutama yang memerlukan komitmen tinggi. Tidak mahu terlalu mengejar nama, dia kini berhati-hati memilih tawaran.

BACA: Tak Mahu Balik Lewat Malam, Siti Saleha Hadkan Tawaran Berlakon

“Memang penat jadi pelakon. Kita akan terkejar-kejar untuk selesaikan kerja. Kadang-kadang kerja lebih 12 jam. Fizikal dan mental kita akan mula rasa penat, tak larat dan kadang-kadang melemahkan diri sendiri.

“Sebab itu saya jarang ambil tawaran untuk drama bersiri. Mungkin kalau penggambarannya tidak lama dan tersusun, jadi boleh dipertimbangkan. Kalau sehingga lewat malam, mungkin tidak.

“Saya jenis tak suka pulang lewat ke rumah. Sebab itu kalau dapat tawaran, saya kena fikir masak-masak. Takut tak boleh bagi komitmen,” katanya.

Drama popular 7 Hari Mencintaimu 3 bakal ditayangkan pada tahun hadapan, bagaimanapun Saleha berkata dia masih berkira-kira untuk membintangi drama berkenaan kerana tidak pasti mampu atau tidak untuk memberikan komitmen.

“Saya tak tahu boleh beri komitmen atau tidak untuk drama tersebut. Saya tahu ini satu drama yang cukup popular dan ramai peminat yang suka dengan watak Mia, namun kena fikir dahulu.

“Suami menyerahkan soal kerjaya sepenuhnya kepada saya. Asalkan saya tahu batas dan pandai membahagi masa, dia okay sahaja. Lagipun saya sendiri sudah memperlahankan kerjaya sebagai pelakon,” katanya.

Ditanya mengenai soal zuriat, Siti Saleha berkata dia menyerahkan rezeki zuriat kepada Allah, namun dia tidak merancang serta terbuka jika diberi rezeki untuk menimang cahaya mata.