fbpx

Siti Nurhaliza Mahu Tambah Anak Sebelum Usia 43 Tahun

Umum mengetahui, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima kehadiran cahaya mata pertamanya iaitu Siti Aafiyah selepas 11 tahun menanti.

Aafiyah kini sudah berusia satu tahun, Siti memberitahu beliau bersedia untuk menambah cahaya mata lagi sebelum usia 43 tahun. Menurut Siti, beliau mengimpikan anak-anak yang ramai, namun semuanya berbalik kepada rezeki.

BACA: Tertunai Doa Siti Nurhaliza Bawa Siti Aafiyah Ke Mekah

“Pada saat kawan-kawan sebaya saya sudah mempunyai empat atau lima orang anak, sudah tentu saya ingin menambah anak lagi.

“Dulu sewaktu awal perkahwinan, impian saya memang mahu ramai anak tapi soal rezeki anak itu Allah yang tentukan. Kalau boleh saya mahu berusaha tambah anak lagi sebelum umur 43 tahun,” katanya kepada MHETV.

Puteri kesayangannya itu kini semakin membesar, Siti meluahkan rasa syukur Aafiyah membesar dengan sihat. Kata Siti lagi, beliau mahu anaknya itu membesar seperti kanak-kanak lain.

“Semua ibu bapa mahukan anak membesar dengan normal dan sihat. Namun, saya rasa sebak apabila Aafiyah sudah tidak mahu dipimpin lagi kerana seronok berjalan. Iyalah.. rasa seperti sekejap sangat waktu Aafiyah kecil.

“Saya agak lambat dikurniakan anak, jadi waktu kecil Aafiyah itu sangat berharga bagi saya.

“Saya juga mahu Aafiyah membesar seperti anak-anak orang lain. Sebagaimana saya lasak di waktu kecil, saya mahu Aafiyah membesar dengan saya juga. Saya tidak mahu menyekat kebebasan Aafiyah, biarlah dia membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Mendirikan rumah tangga dengan Datuk Khalid Mohd Jiwa pada tahun 2006, pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Siti Aafiyah pada 19 Mac 2018 selepas 11 tahun menanti.