fbpx

Siti Nordiana Terkilan Difitnah Berulang Kali

Terkilan dengan dakwaan mengatakan beliau semakin mendabik dada dengan membatalkan persembahan di saat akhir kerana mendapat bayaran yang rendah, Siti Nordiana tampil memberikan penjelasan. Menurutnya, beliau terpaksa membatalkan persembahan dari pihak penganjur itu kerana tidak menerima sebarang bayaran pada hari majlis tersebut berlangsung.

BACA: Bayaran Rendah, Siti Nordiana Batal Persembahan?

“Saya tahu siapa empunya cerita ini. Sebenarnya, memang saya sudah mengesahkan untuk tampil membuat persembahan dalam majlis tersebut. Tetapi, sehingga pada hari berlangsung majlis tersebut, pihak penganjur tidak memasukkan deposit bayaran. Sebagai seorang penyanyi, saya perlu beri keutamaan kepada yang membuat bayaran terlebih dahulu”

“Ini bukan soal bayaran siapa lebih tinggi. Ini soal siapa yang bayar duit deposit dahulu. Sejak dari dulu, sebelum Gegar Vaganza pun saya sudah menetapkan syarat sebegitu. Mana-mana penganjur yang ingin menjemput saya membuat persembahan, perlu membayar deposit. Jadi siapa cepat dia dapat konsepnya,” katanya kepada Utusan Online mengenai perkara itu.

Dalam masa yang sama, Nana turut meluahkan rasa sedih terhadap sikap sesetengah individu yang seolah-olah cuba menjatuhkan kerjaya beliau yang baru sahaja manapak naik setelah lama menyepi. Tambahnya lagi, gosip sebegini juga bukanlah sesuatu yang baru baginya, malah sudah berulang kali beliau menerima tuduhan yang sama oleh individu terbabit.

Tegasnya lagi, walaupun begitu banyak cerita tersebar mengatakan beliau sudah berubah atau berlagak sombong, tetapi pada hakikatnya, beliau masih individu yang sama sejak menjuarai pertandingan nyayian, Gegar Vaganza. Malah dengan berbekalkan perjalanan seni selama 17 tahun membuatkan beliau lebih matang menghadapi hasad dengki orang. (rkty/w)