fbpx

Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana bakal memberi keterangan dari kandang saksi pada perbicaraan kes saman fitnah di Instagram pada pertengahan bulan ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan agar perbicaraan penuh diadakan pada 15 Oktober dan 20 Oktober ini.

BACA: Tak Takut Dengan Siti Nordiana, Peguam Dua Defendan Sedia Lawan Di Mahkamah

Peguambela Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili defendan keempat dan kelima iaitu Musyadzafar Samin (Sam Samin) dan Razidah Ahmad Sanusi atau Aida G. menyatakan akan mengemukakan tujuh orang saksi termasuk kedua-dua anak guamnya sendiri.

“Antara saksi yang akan dipanggil semasa perbicaraan ialah Zoey Rahman, pelakon yang pernah dikaitkan dengan Siti Nordiana,” kata Hafidzah.

Terdahulu, Hafidzah menyatakan Siti Nordianai tidak mempunyai asas kes bagi saman fitnah tersebut kerana menyifatkan anak-anak guamnya tidak pernah mengeluarkan sebarang pernyataan fitnah.

Selain dua defenden berkenaan, tiga lagi individu bakal hadir ke mahkamah ialah Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila Hassim serta penyanyi Syura Badron.

Terdahulu, Siti Nordiana menuntut permohonan maaf menerusi media serta membayar RM500,000 setiap seorang.

Selain itu, Nana juga menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan menerusi penyataan tuntutan tersebut.