Penyanyi Datin Alyah berpendapat untuk memperoleh keharmonian rumah tangga pasangan suami isteri perlu menukar niat mereka daripada mencintai pasangan kepada mencintai Allah.
Menurut Alyah lagi, dia meluahkan rasa syukur rumah tangga yang dibina bersama maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS yang pada awalnya diuji dengan pelbagai dugaan akhirnya menemui kebahagiaan.
BACA: Alyah Nafi Kahwin Dengan Ramli MS Sebab Harta
“Saya sentiasa berdoa dan siapa sangka rumah tangga yang mulanya dibina penuh ribut taufan, tsunami dan pelbagai lagi, tetapi akhirnya Allah bagi kegembiraan dan kehormanian rumah tangga.
“Kerana apa? Pertama sekali mesti niat berkahwin untuk mencintai pasangan kan, tapi diuji dengan banyak sangat masalah, itu sebenarnya tanda dari Allah untuk datang kepada-Nya.
“Tukarkan arah itu, daripada mencintai suami bagai nak mati, perlu lebih mencintai Allah. Jadi saya ubah arah itu, setiap hari saya mendengar dan membaca untuk tambahkan ilmu dan kurang main media sosial. Akhirnya bahagia,” katanya.
Perkara itu dikongsikan oleh Alyah ketika menjawab pertanyaan netizen menerusi sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini.
Untuk rekod, Alyah dan Ramli mendirikan rumah tangga pada Mac 2013 dalam satu majlis kecil yang diadakan di Indonesia. Pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata.