Penyanyi Datin Alyah menafikan dakwaan dia berkahwin dengan Ramli MS kerana harta dan kekayaan dimiliki maestro terkenal tanah air itu.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini, Alyah berkata dia pernah menerima pertanyaan daripada netizen yang mendakwa dia berkahwin dengan Ramli atau Tok Ram kerana kekayaannya.
BACA: Wajah Disamakan Dengan Ira Kazar, Ini Reaksi Alyah
Sementara itu, Alyah berkata dia bukan datang daripada keluarga yang susah sebaliknya dia juga mempunyai harta sendiri.
“Ada yang kata saya kahwin dengan Tok Ram sebab kaya, tolong fikir-fikirkanlah. Sebab saya pun ada harta saya sendiri, saya bukanlah datang dari kelapa sawit, pokok getah, ada yang tag saya berkata begitu.
“Allah beri saya rezeki untuk saya sendiri. Suami saya membuat keputusan untuk berkahwin dengan saya sebab memang jodoh Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Alyah berkata dalam rumah tangga tiada yang menang atau salah dan perkahwinan itu ‘mahal’ terletak pada keharmonian dan ketenangan.
“Pada saya mahalnya sesebuah perkahwinan itu terletak pada keharmonian dan ketenangan. Itu yang susah nak dapat. Apa yang saya nak bawa dalam rumah tangga ini adalah amalan-amalan saya, sebab esok lusa tak tahu siapa yang pergi dulu (meninggal dunia), tak semestinya yang berusia itu pergi dulu.
“Saya juga pernah membuat kesilapan sebelum ini, keselipan itu yang membuatkan saya belajar banyak perkara, tapi janganlah ulangi kesilapan itu berulang ulang kali,” katanya.
Untuk rekod, Alyah dan Ramli mendirikan rumah tangga pada Mac 2013 dalam satu majlis kecil yang diadakan di Indonesia. Pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata.