Pelakon Shukri Yahaya mengakui kesilapannya serta memohon maaf susulan tindakannya menunjukkan jari tengah selepas tular gambarnya bersama-sama rakan lain.
Memetik Harian Metro, Shukri bagaimanapun mempersoalkan mengapa isu itu perlu diperbesarkan serta ada yang mendakwa bimbang akan menjadi ikutan anak-anak kecil.
BACA: “Wife Bukan Main Berselubung” – Netizen Kecam Gambar Syukri Yahaya Tunjuk Jari Tengah
“Itu adalah hantaran bersama kawan-kawan dan menggunakan media sosial saya. Saya percaya pengikut saya adalah manusia atau orang yang sudah dewasa dan boleh berfikir serta boleh membezakan mana satu baik dan mana yang buruk.
“Lagipun budak-budak tidak sepatutnya gunakan media sosial tanpa kawalan. Jadi, kenapa perkara itu perlu dibesarkan dengan mengatakan takut anak-anak terikut atau terpengaruh?
“Daripada cuba menegur atau mencari kesalahan orang lain, lebih baik kita melihat perkara yang ada di sekeliling kita. Kalau risau anak-anak terikut dengan perkara yang tidak baik, kenapa benarkan mereka guna media sosial tanpa kawalan?” katanya.
Sementara itu, Shukri turut meminta agar tidak melibatkan isterinya, Tya Adnan dalam isu berkenaan.
“Tidak perlu babitkan isteri saya kerana saya tidak suka campur adukkan kehidupan peribadi dengan kerja atau media sosial saya,” katanya.
Dalam pada itu, Shukri berkata gambar tersebut tular selepas seorang peniaga minyak wangi menggunakan gambar itu untuk mempromosikan produknya meskipun ianya sudah dipadam di media sosial miliknya.
“Bila siasat rupanya orang yang tularkan perkara itu menjual minyak wangi. Akaun itu baru dua hari diwujudkan. Pada hari kedua, dia bercerita mengenai minyak wangi tetapi tiada orang memberikan komen.
“Dia ada berkongsi hantaran mengenai ketiak, barulah dapat perhatian. Mungkin dia nampak di situ ada peluang, jadi dia gunakan gambar saya, walaupun foto itu sudah dipadam di media sosial saya,” katanya.
Sumber: Harian Metro