fbpx

Shuib Nafi Bakal Kahwin Hujung Tahun Ini

Pelawak Shuib Sepahtu mengakui terkejut apabila rakan penyampainya, Ajak mendengar khabar angin bahawa dia bakal berkahwin dengan wanita dikenali Watie Hanifiah, hujung tahun ini.

Memetik Harian Metro, Shuib berkata Ajak memberitahu terserempak dengan seorang pemilik katering yang mendakwa menerima tempahan untuk hari bahagianya.

BACA: Shuib Sanggup Tak Dibayar Buat Kerja Asalkan Tak Stress

“Lima hari lalu Ajak ada bertanya adakah saya akan berkahwin hujung tahun ini. Ketika diajukan soalan itu, saya terpinga-pinga kerana tak faham apa yang cuba disampaikan.

“Dia beritahu ada terserempak dengan seorang pemilik katering yang mendakwa Shuib sudah menempah makanan untuk buat majlis perkahwinan sehingga pemilik itu turut beritahu jumlah tetamu yang bakal hadir,” katanya.

Menurut Shuib lagi, jika benar dia akan mendirikan rumah tangga sudah pasti akan maklumkan terlebih dahulu kepada Ajak serta menyifatkan ada pihak yang membuat fitnah.

“Saya beritahu Ajak jika dia bakal berkahwin sudah tentu Ajak adalah individu terawal yang akan dimaklumkan. Malah ketika saya mula mengenali Watie, Ajak antara orang pertama yang saya kongsikan.

“Jadi, kalau kata saya ada berjumpa pemilik katering atau tukang buat baju, semua itu adalah dusta. Ada pihak yang buat fitnah dengan ‘menjual’ cerita yang tidak betul,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut menafikan dakwaan dia bakal berkahwin pada Mac tahun depan. Ujarnya, perkenalannya dengan Watie belum cukup lagi namun mengakui anak-anak dan ibunya senang dengan usahawan itu.

“Belum ada sebarang perancangan dan rasanya macam jauh lagi perjalanan ke arah itu sebab saya nak pastikan anak-anak terima kehadirannya dahulu.

“Perkenalan dua hingga tiga bulan belum cukup masak untuk menilai dia. Alhamdulillah hubungan kami berjalan lancar dan anak-anak serta mak saya pun suka dengan kehadirannya,” katanya.