fbpx

Shuib Mahu Berehat Dari Dunia Seni

Kini bergelar bapa tunggal kepada empat cahaya mata, pelawak Shuib Sepahtu berkata dia mahu berehat seketika daripada dunia seni untuk memberi tumpuan kepada anak bongsunya, Ayash Affan.

Menurut Shuib, sejak Ayash pulang rutin hariannya kini berubah apatah lagi perlu menyesuaikan diri dengan tanggunghawab sebagai bapa tunggal.

BACA: Lebih Sebulan Menanti, Shuib Jumpa Ayash Affan Hari ini

“Sekarang, semuanya berubah termasuklah jadual harian saya termasuklah selepas Ayash Affan pulang ke rumah dan dia memerlukan penjagaan rapi memandangkan masih dalam tempoh pramatang.

“Berehat yang saya maksudnya bukannya berhenti tetapi tidak terlibat dengan sebarang program buat sementara waktu,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib sempat berseloroh akui pelik apabila dirinya kini bergelar bapa tunggal. Ujarnya lagi, buat masa ini dia mahu memberi fokus kepada anak-anak terlebih dahulu.

“Pelik pula dengan gelaran tersebut tetapi inilah yang saya jalani. Penggantungan anak-anak sekarang sudah beralih 100 peratus kepada saya sejak ibu mereka meninggal dunia.

“Jadi, untuk laksanakan semua ini, ada baiknya saya fokus dulu dengan keadaan di rumah bagi memastikan kehidupan dan pelajaran anak-anak terjaga,” katanya.

Shuib kini menjaga empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayash selepas pemergiaan isteri tercinta Allahyarham Siti Sarah pada 9 Ogos lalu.