fbpx

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini menetapkan 27 Julai depan untuk keputusan lafaz cerai pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Memetik BH Online, perkara itu dimaklumkan oleh Hafidz sebaik saja selesai prosiding pengesahan lafaz cerai tengah hari tadi.

BACA: Muat Naik Gambar Jumpa Anak, Hafidz Roshdi Kuat Berlakon?

Menurut Hafidz, biar apa pun keputusannnya nanti dia akan meneruskan kehidupan baru serta mengekalkan silaturahim antara kedua keluarga demi anak-anak.

“Alhamdulillah, saya sudah selesai memberikan keterangan bagi kes lafaz cerai yang mana saya dan Nurul Shuhada hadir bersama bagi kes cerai difailkan pada 27 Februari lalu.

“Hak penjagaan anak-anak akan dibicarakan kelak. Jadi, berikan kami ruang untuk mencapai kata sepakat, demi kepentingan Humairah dan Umar,” katanya.

Sementara itu, Hafidz turut menafikan beberapa perkara yang memburukkan namanya dimana dia tidak menuduh isterinya itu melakukan pengguguran serta perjumpaannya dengan anak-anak.

“Banyak sudah dikongsi dalam media sosial. Sebagai contoh, saya tidak menuduh Nurul Shuhada membuat pengguguran dan tidak sama sekali membuat laporan palsu. Ia adalah mengikut apa yang dimaklumkan menerusi komunikasi dalam WhatsApp.

“Saya berjumpa anak-anak, dua minggu lalu dan bukan tiga minggu lalu seperti yang dinyatakan Nurul Shuhada. Pertemuan ini berlaku selepas musim Aidilfitri.

“Itu pun selepas banyak permintaan dibuat oleh peguam bagi pihak saya, tetapi tidak berjaya. Instagram (IG) saya sudah digodam dan itulah sebab gambar dan video lewat dikongsi. Tiada strategi atau sebarang niat lain dalam hal ini.

“Saya tak nampak ada masalah jika saya memuat naik gambar saya bersama anak-anak pada bila-bila masa. Itu hak saya. Nampaknya ada pihak yang cuba mensensasikan perkara ini, tetapi mengapa? Ini kerana Humairah dan Umar adalah anak saya dan hak saya,” katanya.

Dalam pada itu, Hafidz memberitahu isterinya itu sudah lama minta diceraikan serta menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Khusus untuk hari ini, walaupun sudah banyak sesi perdamaian dan dialog dijalankan, tetapi perceraian diminta bukan tahun ini.

“Nurul Shuhada minta diceraikan sudah lama sebenarnya. Jadi, hari ini kehendaknya sudah dituruti. Mahkamah sudah dengar dan akan putuskan mengikut undang-undang, jadi saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.