fbpx

Sheila Rusly Kecewa, Umum Berehat Sementara Dari Lakonan

Meskipun drama ‘Bukan Gadis Biasa’ trending, namun pelbagai kritikan diterima sepanjang ianya ditayangkan. Malah, lakonan Sheila Rusly sebagai Opah Aminah turut dikecam gara-gara solekan tua yang dikenakannya.

Terbaru, Sheila Rusly membuat keputusan untuk berehat sementara dari lakonan. Tindakan drastik itu dilakukan kerana rasa kecewa terhadap orang dalam industri. Malah, segala kerja kerasnya menghasilkan sebuah karya seolah-olah tidak mendapat penghargaan.

BACA: Jinggo Perjelas Kenapa Tak Pilih Pelakon Lama Bawa Watak Opah

“Memang saya merajuk dengan industri sebab saya rasa sebagai anak seni, saya menggunakan platform sebagai penerbit memberi kelainan kepada industri tapi usaha saya orang pandang sambil lalu saja.

“Cerita-cerita bergenre biasa ini yang mereka rasa harus dihargai. Saya bila buat apa-apa benda bukan mengharapkan balasan tapi bila kita dah berikan full effort, tak dapat penghargaan mestilah kecewa.

“Saya hanya minta sedikit penghargaan supaya kerja keras saya rasa berbaloi. Itu saja. Dalam masa sama, saya percaya pada rezeki dan mungkin Allah kata belum rezeki,” katanya kepada mStar.

Tegasnya, keputusannya itu bukan gimik ataupun demi meraih perhatian tetapi ingin mengotakan janjinya sebelum ini. Tidak pasti sampai bila mahu berehat, dia mungkin akan kembali jika menerima tawaran berlakon yang membuatkan dia mahu beraksi semula.

“Saya memang nak berehat, bila saya cakap itu maknanya saya akan buat. saya bukan hanya cakap tapi tak buat. Drama Bukan Gadis Biasa, buat masa ini itu la drama terakhir saya berlakon sebelum saya berehat sekejap.

“Saya tak tahu berehat sampai bila tapi mungkin sampai saya dapat satu naskah yang terpanggil untuk saya berlakon semula.

“Insya-Allah saya akan kembali kalau watak itu mencabar saya sebagai seorang pelakon, tapi kalau watak biasa, bagi la kepada orang yang lebih memerlukan platform tersebut,” katanya.

November tahun lalu, pengarah terkenal Jinggo Azman mendedahkan Sheila Rusly berhasrat untuk mengundurkan diri sementara waktu atas beberapa faktor yang mendorong isterinya itu memendam rasa sehingga nekad untuk berehat.