fbpx

Sheila Mambo Akui Cuci Face Mask Untuk Dipakai Semula

Baru-baru ini, perkongsian Sheila Mambo di Instagram menjadi perhatian ramai apabila pelakon itu mengakui terpaksa mencuci semula pelitup muka pakai buang yang sudah digunakan untuk dipakai semula.

Menurut Sheila atau nama sebenarnya, Rusilawati Hasan, dia berbuat demikian kerana kos perbelanjaan untuk membeli pelitup muka bukanlah murah apatah lagi perlu digunakan setiap hari seperti yang diwajibkan oleh pihak kerajaan.

BACA: “Jangan Ingat Semua Artis Kaya, Kami Juga Rakyat Malaysia Layak Mohon PPR”

“Faham-fahamlah, bukan murah mask, tapi seeloknya, kita basuh dengan sabun guna tapak tangan gosok manja-manja sahaja. Jemur dah boleh pakai. Tapi saya hanya buat sekali sahaja, lepas tu saya buang guna yang baru.

“Siapa macam saya? Bukan kedekut, tapi berjimat. Cuba uji lepas basuh dah kering, letak air. Kalau tak tembus air, masih elok diguna pakai,” katanya.

Menerusi perkongsian di Instagram itu, Sheila turut memuat naik cara-cara membasuh pelitup muka pakai buang yang sering dilakukannya walaupun sepatutnya ia tidak boleh diguna pakai semula.

Mengakui hal tersebut bertentangan dengan saranan yang dikeluarkan pihak berwajib, namun Sheila berkata dia menggunakan pelitup muka itu dalam tempoh sekejap sahaja.

“Ada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) saran guna mask paling lama dua jam dan boleh buang, atau setelah dibuka sewaktu makan dan pakai sekejap dah boleh buang, jangan pakai lagi.

“Saya kalau guna sekejap kurang dari dua jam atau hanya waktu tidak melibatkan bertemu atau bertembung dengan orang ramai, saya akan jemur selepas pakai.

“Saya guna hanya dua kali sahaja, lepas tu saya basuh dan keringkan kalau masih elok tidak keluar bulu-bulu kapas,” jelasnya.

Perkongsian pelakon itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang meneger tindakannya itu serta menasihatkan untuk tidak mengulang pakai pelitup muka pakai buang demi jaminan keselamatan kesihatan diri.

Namun, ada dikalangan netizen mengatakan mereka juga turut melakukan perkara yang sama memandangkan harga pelitup muka bukan murah dan mereka terpaksa mengulang pakai semula.