fbpx

Sharifah Shahirah Ikhlas Bertudung, Bukan Sebab Takut COVID-19

Jika anda mengikuti perkembangan Sharifah Shahirah, pasti ramai tahu bahawa pelakon itu sudah mula mengenakan tudung sejak Februari lalu. Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Shahirah atau mesra disapa Shiera sudah mula bertudung penuh.

Menurut Shiera niatnya untuk bertudung itu timbul apabila menyedari wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia adalah dugaan Allah SWT. Malah, Shiera turut bernazar jika ada penawar untuk wabak tersebut dia akan bertudung.

BACA: Sharifah Shahira Lega Suami Sekarang ‘Melekat’ Di Rumah

“Ditambah pula apabila PKP dilaksanakan. Pada mulanya saya bernazar, jika wabak ini ada penawar saya nak pakai tudung. Terlalu banyak dugaan Allah berikan sekarang.

“Tapi, saya fikir semula kalau tak ada penawar, takkan saya tak pakai tudung. Jadi, saya bulatkan hati dan berniat untuk terus pakai.

“Lagipun, sebelum PKP saya memang pakai ‘on-off’ dan suka-suka saja. Sekarang, saya sudah pakai dengan betul. Tapi, saya tidak boleh terus menjadi sempurna. Saya masih dalam proses belajar dan memperbaiki diri,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Shiera berkata suami, anak-anak, ahli keluarga dan rakan menyokong keputusannya itu serta menghadiahkan tudung buatnya. Malah, Shiera berkata anak perempuannya juga turut meluahkan hasrat untuk bertudung juga.

“Suami tak cakap apa. Dia sentiasa menyokong saya. Walaupun ada ketika dia terlupa saya sudah bertudung. Macam anak perempuan pun, dia siap cakap nak pakai tudung juga.

“Begitu juga rakan-rakan yang sangat menyokong. Malah, ada siap bagi tudung. Azah pun siap tanya adakah betul saya sudah bertudung. Insya-Allah, saya tetap berkawan dengan semua orang.

“Saya masih Shiera yang sama dan saya tetap menjadi diri sendiri. Cuma, saya cuba untuk menjadi lebih lemah lembut. Kalau menjerit saya cepat-cepat beristighfar,” katanya.