Hubungannya dengan seorang jejaka Mat Saleh hangat diperkatakan, pelakon Sharifah Sakinah mendedahkan akan menamatkan zaman jandanya dengan jejaka dari Sweden, Michael Hansen pada 25 Mei tahun hadapan.
Memilih tarikh berkenaan kerana memiliki keistimewaan tersendiri, Sakinah bagaimanapun berkata tidak dapat mengesahkan sama ada majlis perkahwinan mereka akan di adakan di Kuala Lumpur atau di Sweden.
BACA: Sharifah Sakinah Dah Kahwin Dengan Mat Saleh?
“Tarikh itu dipilih kerana merupakan tarikh lahir saya dan Michael. Kami berkongsi tarikh lahir yang sama.
“Seperti yang dijanjikan, kalau betul ada benda yang baik, saya akan umumkan. Tapi kita tak tahu lagi sama majlis akan diadakan di Kuala Lumpur atau di Sweden. Masih 50-50 sebab dalam perbincangan dengan Covid-19 yang masih belum reda,” katanya.
Menerusi satu temu bual program televisyen, Sakinah berkata meskipun sudah berumah tangga dia akan tetap meneruskan kerjaya seninya dan tidak berhasrat untuk berpindah ke Sweden.
“Apa pun, saya takkan berpindah ke sana sebab minat saya ialah berlakon dan saya ingin bekerja di sini. Ia (hubungan) akan jadi macam hubungan jarak jauh. Saya akan pergi sana untuk bercuti dan begitu juga dia (Michael),” ujarnya.
Dalam pada itu, Sakinah yang dihubungi Kosmo! Online tidak menafikan apa yang dikongsikan menerusi temu bual itu dan hanya mengharapkan doa yang baik-baik daripada peminat.
“Maaf, saya sedang sibuk sedikit buat masa sekarang. Saya cuma harapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai,” ujarnya.