Selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khalwat, Shahz Jaszle berkata dia nekad mencari bukti untuk membersihkan namanya.

Malah pelakon popular menerusi drama Asmara ini mendakwa dirinya dianiaya oleh pihak tertentu hingga menyebabkan dia ditangkap khalwat.

“Saya tak boleh beri komen banyak sebab kes ni masih belum dibicarakan lagi. Saya tak bersalah. Dan saya akan buktikan yang saya tak bersalah. Buat masa sekarang saya sedang mengumpulkan bukti-buktinya dan saya akan lawan semula. Saya dianiaya oleh pihak tertentu. Tapi saya tak mahu tuduh siapa”, katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, semalam.

BACA: Shahz Jaszle Mengakui Tidak Bersalah Tuduhan Khalwat

Shahz membuat penafian tersebut di hadapan hakim Syarie Abd Haim Abu Samah. Kemudian pelakon itu diperintahkan membayar denda sebanyak RM1500. Mahkamah menetapkan 21 Januari 2014 sebagai tarikh perbicaraan terhadapnya.

Dalam pada itu, Shahz Jaszle berkata yang dia tidak terkejut apabila pasangan khalwatnya, Farah Nurizzati Salleh mengaku bersalah. Farah diperintahkan oleh mahkamah membayar denda sebanyak RM3000.

“Saya tak terkejut pun bila dia kata dia bersalah. Saya memang sudah jangka. Selama ni pun dia tak pernah kisah dengan kes ini. Saya tahu dia memang ada niat nak jatuhkan saya”, katanya.

Menurut Shahz dia hanya mengenali gadis itu selama tiga minggu dan menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Farah bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa.

Sementara itu peguam Asyraf A. Ranee berkata, dia yang mewakili Shahz Jaszle sebagai anak guamnya akan menghantar notis penelitian semula kepada mahkamah.

“Setakat ini kami sudah ada beberapa bukti. Kami juga akan menghantar notis kepada mahkamah untuk penelitian semula kes ini”, katanya.


Dalam kejadian 16 Mei lalu, pasangan tersebut telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.

Kejadian itu menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha lalu.

Selain itu ditanya mengenai persiapan kahwinnya, Shahz yang kini sibuk dengan pengambaran Dendam 5 Beradik berkata buat masa dia menyelesaikan dahulu kes perbicaraan khalwat ini dan kemudian baru dia memberi tumpuan pada perancangannya untuk berkahwin. (rtky/fr)