fbpx

Kes Khalwat: Shahz Jaszle Mengaku Tidak Bersalah

Pelakon kontroversi Shahrizal Jaszle Jasmin atau Shahz Jaszle mengaku tidak bersalah dengan penangkapan dan tuduhan berkhalwat ke atasnya. Penafian itu direkodkan dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Jaya, hari ini.

Peguam Syarie yang mewakili Shahrizal iaitu Asyraf A. Ranee memohon anak guamnya agar dibebaskan dengan jaminan RM1500.

Kemudian hakim syarie Abd Halim Abu Samah memutuskan Shahrizal dibebaskan dengan jaminan RM1500 dengan seorang penjamin atau ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

Mahkamah memutuskan kes perbicaraan seterusnya pada 21 Januari 2014.

Bagaimanapun, pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mengaku bersalah dakwa penangkapan khalwat mereka.

Setelah mendengar hujah dan fakta kes daripada pegawai pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor Shafezan Rosli, mahkamah memerintahkan Farah membayar denda maksimum RM3000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membuat bayaran mulai hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan medianya mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Kayangan Apartment, Taman Sri Subang, pada pukul 3.50 pagi.

Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, aktor yang popular menerusi drama Asmara ini telah bertunang dengan seorang doktor yang dikenali sebagai Redzwani Puteri pada bulan Disember 2012. (rtky/fr)