fbpx

Shah Jaszle Bersyukur Karier Berjalan Lancar Selepas Dihimpit Kontroversi

Sudah lama rasanya kita tidak mendengar khabar berita dari pelakon yang suatu ketika dahulu pernah membintangi drama berjudul ‘Asmara’ sekitar tahun 2010, dan sudah acap kali juga dihimpit kontroversi. Bertemu dengannya bersempena majlis pra tonton drama siri Dendam 5 Beradik dia kini kelihatan semakin kurus dan lebih teratur.

Shahz Jaszle berkata sejak dirinya diuruskan oleh adiknya sendiri sebagai pengurus peribadi membuatkannya lebih teratur dari segi penjadualan dan juga kerjayanya.

“Alhamdulillah selepas adik saya mengambil alih sebagai pengurus peribadi, saya kini lebih teratur dan jadual saya lebih baik. Adik saya telah mengambil tugas ini dari tahun lepas selepas selesai sahaja dia tamat belajar,” katanya.

Selepas setahun dihimpit kontroversi agak jarang dia muncul di kaca televisyen dan baru-baru ini sahaja kita dapat melihat Shah Jaszle berlakon dalam drama TV3 bersama-sama dengan Rozita Che Wan dan Zamarul Hisham. Katanya kini selepas apa yang telah berlaku dia tidak pernah mendiamkan diri tetapi lebih banyak fokus terhadap kerjaya lakonannya.

“Apa yang boleh saya cakapkan kini saya perlu lebih berhati-hati dengan setiap tindakan yang dibuat. Tapi Alhamdulillah selepas sahaja kontroversi itu berlaku tawaran berlakon masih tidak putus dan sekiranya saya jarang keluar di media massa ialah disebabkan kerana saya sibuk dengan jadual penggambaran saya,” ujarnya.

Pelakon ini juga turut memberitahu bahawa sebutan kes akan berlangsung semula pada bulan April ini untuk memanggil saksi dan seterusnya prosiding undang-undang akan berlaku.

“Perbicaraan akan berlangsungnya pada bulan April ini iaitu sebutan kes dengan memanggil saksi-saksi untuk meneruskan proses kes ini. Saya tahu kes ini sudah hampir setahun lebih kerana saya ingin melawan secara adil dan saksama”

“Apa yang penting saya mesti positif pada diri sendiri dan apa sahaja yang telah berlaku telah menjadi pengajaran buat saya, dan selepas ini perlu lebih banyak berhati-hati,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Perkembangan yang lain, Shah Jaszle dan pelakon jelita, Christina Suzanne akan ke Sydney pada bulan hadapa selama satu minggu untuk menjayakan drama terbitan RTM, yang masih belum lagi mempunyai judulnya. Sementara itu, dia juga bakal membintangi drama bersiri berjudul ‘Kristal Maya’ di slot Samarinda TV3. (rtky/hfz)