Penyanyi Shae yang berasal dari Jakarta, Indonesia dan pernah popular dengan lagu berjudul ‘Sayang’ mengakui bahawa kontroversi boleh menaikkan nama seseorang artis & mempopularkan mereka dalam jangka masa yang pantas.

“Ya saya percaya kontroversi itu boleh menaikkan nama artis dan dikenali dengan cepat, tetapi saya tidak mahu berbuat perkara yang sebegitu,” ujarnya ringkas sebaik ditanyakan mengenai perkara itu kepadanya.

Bertemunya di majlis anugerah 5x Platinum Berkembar kelmarin, dia yang kelihatan sungguh jelita itu turut menangis kegembiraan kerana tidak menyangka akan diberikan penghargaan yang begitu besar buat dirinya sepanjang penglibatan dalam dunia hiburan.

Pencapaian singlenya yang berjudul ‘Sayang’ telah mendapat sambutan yang hangat di kalangan peminat-peminatnya di Malaysia sehingga berjaya meraih penjualan ringback tone digital melebihi 1,000,000 unit. Di atas pencapaian yang amat gemilang ini Warner Music (M) Sdn Bhd dengan bangganya menyampaikan Anugerah Platinum Berkembar 5x.

“Alhamdulillah saya bersyukur sekali dan tidak menyangka akan diberikan penghargaan ini. Maaf kalau saya menangis kerana saya begitu gembira dengan apa yang diberikan ini termasuklah peminat-peminat yang datang hari ini dan tak pernah putus-putus memberikan sokongan kepada karier saya ini,” ujarnya gembira.

Dia juga tidak menafikan bahawa dia lebih popular di Malaysia berbanding negaranya sendiri dan begitu juga dengan lagu-lagunya terutama Sayang sehinggakan menjadi ‘viral’ di Youtube dan yang paling berjaya mencuit hati adalah dari Bobo yang mencecah 1,775,641.

“Ya, benar saya memang lebih dikenali di sini tetapi saya tidak kisah kerana saya menyanyi untuk menghiburkan peminat dan apabila mereka suka dan seronok dengan muzik saya, itu sudah membuatkan saya sungguh terharu sekali.” katanya lagi.

Sementara itu, Shae turut melebarkan sayapnya dibidang seni melalui bakat lakonannya menerusi drama ‘Cinta Sambal Balacan’ dan ‘Cintaku T’lah Mati’. Shae turut memberitahu bakal membuat kejutan kepada peminatnya pada bulan November ini. Kahwin? Heh. (rtky/hfz)