fbpx

Serasi Bersama, Ruhainies Tak Sabar Nak Berlakon Dengan Zul Ariffin Lagi

Kemesraan antara dua pelakon Zul Ariffin dan Ruhainies ketika membintangi sebuah drama mencetuskan pelbagai persepso apabila ada yang kurang senang dengan aksi mereka yang dilihat terlebih mesra.

Bagaimanapun, Ruhainies berkata dia tidak pernah menerima kecaman daripada peminat Zul, malah mereka memberikan kata-kata positif. Ruhainies juga mengakui dia berhubung dengan Zul sebagai seorang sahabat.

BACA: “Yang Penting Saya Sudah Buat Kerja”

“Komen positif yang diberikan membuatkan saya lebih bersemangat datang ke lokasi penggambaran, setiap hari. Tiada lagi kecaman yang diterima.

“Saya dan Zul berhubung sebagai seorang kawan di luar lokasi penggambaran. Zul, sebenarnya seorang lelaki sangat baik dan tidak lokek berkongsi ilmu dalam bidang lakonan. Jadi, ini salah satu sebab saya seronok untuk ke lokasi penggambaran tanpa tekanan.

“Hingga sampai hari akhir penggambaran, saya rasa kenapa terlalu cepat masa berlalu. Saya selesa bekerja dengan Zul dan keseluruhan tenaga produksi,” katanya kepada BH Online.

Pertama kali bergandingan dengan Zul, Ruhainies berkata ianya pengalaman cukup bermakna buatnya. Kata Ruhainies lagi, Zul merupakan gandingan paling serasi sepanjang dia bergelar pelakon.

“Saya terkejut saat diberitahu bergandingan dengan Zul. Ini kerana saya tak pernah melihat Zul berlakon dalam drama komedi, sebelum ini.

“Pengalaman bekerja dengan Zul sangat mudah dan selesa. Kami begitu mudah mencipta keserasian. Bayangkan dalam tempoh dua hari, kami sudah dapat keserasian. Saya akui, Zul adalah gandingan saya paling serasi sepanjang bergelar pelakon,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan teman lelakinya, Ruhainies enggan mengulas lanjut kerana tidak selesa mencampur adukkan soal kerjaya dan peribadi.

“Saya dan Zul bersikap profesional ketika bekerja. Aksi mesra yang dilakukan bagi memenuhi kehendak pengarah. Saya enggan komen bagaimana penerimaan teman lelaki.

“Alhamdulillah, setakat ini, tiada sebarang masalah. Apa yang dapat dikatakan, saya gembira sama ada berkaitan kerjaya mahupun peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Ruhainies memaklumkan dia dan Zul kemungkinan akan digandingkan sekali lagi dalam sebuah drama, tidak lama lagi dan mengakui tidak sabar untuk kembali bekerja dengan pelakon berbadan sasa itu.