Hati ibu mana yang tidak meruntun dan sedih apabila anaknya meninggal dunia secara mengejut. Ibu kepada Abam Bocey, Sabariah Arshad tidak menyangka anaknya itu terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi.

Lebih menyedihkan, sebaik mengetahui Abam sudah tiada, Sabariah menggoncang tubuh anaknya berulang kali namun anaknya disahkan sudah tidak bernyawa. Sabariah berkata, kali terakhir berjumpa Abam dua hari lalu ketika itu mengadu tidak ada selera makan.


BACA: Fasha Sandha Kongsi Perbualan Terakhir Dengan Arwah Abam

“Tiba-tiba isteri Abam telefon saya mengatakan Abam pengsan. Saya bergegas pulang ke rumah bersama Ali. Apabila tiba di rumah, saya menggoncang tubuh Abam berulang kali namun dia sudah tiada.

“Malah, sebaik mengetahui dia sudah tiada, berulang kali saya memegang pipinya supaya jangan tinggalkan saya, kasihankan saya. Sepatutnya mak pergi dulu dan bukan Abang (Abam), bangunlah Abang, tak kesian (kasihan) ke kat mak.

“Saya susah nak percaya pada mulanya, sebab itu saya goyang badan dia supaya bangun berulang kali namun doktor sudah mengesahkan Abam sudah tiada jam 7.15 pagi,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Sabariah berkata kehilangan Abam sangat dirasai serta menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan tiada apa yang boleh lawan kebaikannya itu serta sangat menghormati orang tua.

“Dia selalu ingatkan saya untuk makan ubat, kalau saya sakit dia yang akan susah hati. Abam memang anak yang baik, memang tak boleh lawan kebaikan dia, Ya Allah dia sangat baik,” katanya.